id=khairul4189">

Sunday, February 13, 2011

Gerrard, Agger kembali bersaing

The big 4-0.jpg Daniel Agger2 cropped.jpg
LIVERPOOL - Steven Gerrard dan Daniel Agger dijangka kembali menyertai Liverpool pada perlawanan menentang Sparta Prague dalam saingan Liga Europa, Khamis ini, menurut pengurus Reds, Kenny Dalglish.
Kapten berpengaruh, Gerrard terlepas pertemuan dengan Wigan yang berkesudahan seri 1-1 di Anfield ekoran kecederaan pangkal paha.
Sementara pertahanan Denmark, Agger turut tidak beraksi pada perlawanan tersebut berikutan masalah otot dan menyaksikan harapan Liverpool untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut musnah sejak Reds diletakkan di bawah pengendalian, Dalglish.
Namun, Dalglish membayangkan kedua-dua pemain itu akan menyertai kujungan Liverpool ke Republik Czech pada pertengahan minggu ini.
"Ia lebih baik beberapa hari daripada berminggu-minggu," kata pengurus Liverpool ketika ditanya mengenai ketiadaan dua pemain berkenaan pada perlawanan menentang Wigan.
Dalglish sudah pasti menuntut anak-anak buahnya meningkatkan prestasi ekoran persembahan tidak konsisten menentang Wigan ketika mereka bertemu Sparta, kelak pada saingan pusingan 16 pasukan.
Liverpool mengintai peluang untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut apabila pemain tengah Portugal, Raul Meireles meneruskan kecemerlangan menjaringkan gol kelimanya dalam enam perlawanan.
Jaringan itu juga meletakkan Liverpool mendahului pada separuh masa pertama menentang Wigan yang kini berada dalam zon penyingkiran.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah gagal mempertahankan kedudukan itu apabila pertahanan antarabangsa Ivory Coast, Steve Gohouri menjaringkan gol penyamaan yang membangkitkan kontroversi pada separuh masa kedua.
Dalglish menegaskan, gol Wigan itu seharusnya tidak diterima selepas pemain tersebut berada dalam kedudukan ofsaid.
Kekecewaan Liverpool semakin tidak dapat disorokkan apabila Luis Suarez yang buat pertama kali tampil dalam kesebelasan utama gagal dalam dua kali percubaannya yang sekadar terkena palang gol.
"Gol mereka cukup jelas ofsaid, tetapi perkara seumpama ini biasa berlaku. Kami amat kecewa. Perlawanan ini amat sukar, tetapi persembahan kami tidak begitu baik seperti yang kami pamerkan sebelum ini.
"Kami bermula baik dengan melakukan serangan dan Raul menjaringkan gol yang cantik. Rembatan Luis pula terkena tiang, tetapi rata-rata pemain ini terlibat dalam perlawanan pada Rabu lalu.
"Mereka agak kehilangan rentak dan permainan sebelum ini lebih bagus. Malah, mereka tidak beraksi mantap dan persembahan kelihatan tumpul," tambah Dalglish, yang mengakui segelintir pemainnya menampilkan permainan tumpul selepas terbabit dalam perlawanan pertengahan minggu bersama negara masing-masing.
Pengurus Wigan, Roberto Martinez menggesa para pemainnya agar bekerja keras dan memanfaatkan mata yang mereka peroleh sebagai platform untuk bangkit kembali.
"Gol Liverpool hadir ketika perlawanan sedang rancak berlangsung dan ia merupakan rembatan yang cukup luar biasa secara teknikalnya.
"Untuk beberapa ketika kami berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa pertama, tetapi kami tidak pula menunjukkan keyakinan yang kami mampu mengecewakan pasukan seperti Liverpool.
"Para pemain berhak untuk mendapat pujian. Berkunjung ke Anfield, jika anda tidak berada pada prestasi terbaik, anda tidak akan dapat apa-apa, tetapi saya rasa kami telah bertahan dengan baik sekali,'' kata Martinez. - AFP

Rooney buat semua peminat EPL kagum

LONDON - Wayne Rooney berkata, jaringannya pada perlawanan menentang jiran tetangga Manchester City kelmarin adalah yang terbaik.

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson pula menyifatkan pemain itu adalah penyerang terhebat yang pernah dilihat di Old Trafford.
Kecemerlangan Rooney menenggelamkan semua masalah yang membelenggu pemain itu pada musim ini apabila menjaringkan gol penyelamat buat United ketika menentang City, kelmarin.
Pada perlawanan kelmarin, penyerang England itu berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-78 sekali gus memberi kemenangan 2-1 kepada United untuk menewaskan City yang juga pesaing terdekatnya.
''Saya dapat lihat peluang untuk menjaring gol dan terus memanfaatkan peluang tersebut,'' kata Rooney.
Aksi akrobatik Rooney kelmarin membuatkan penjaga gol City, Joe Hart tergamam seketika.
Dalam pada itu, pemain pertahanan United, Rio Ferdinand yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan turut berkongsi kegembiraannya dalam laman sosial Twitter
''Wow... lihatlah jaringan daripada Rooney untuk mendapatkan kemenangan. Sepakan gaya kayuhan basikal Rooney itu sungguh mengagumkan,'' tulis Ferdinand.
Sementara itu, Ferguson berkata, prestasi yang dipamerkan oleh penyerang itu mengingatkannya kepada bekas pemain handalan United, Denis Law yang menjaringkan 171 gol sepanjang karier bersama kelab tersebut.
''Itu adalah aksi luar biasa daripada Rooney dan kita berjaya mendapatkan gol yang cukup mengagumkan serta jarang dapat dilihat.
''Walaupun gol yang dijaringkan oleh Nani adalah jaringan yang tidak diduga, namun gol Rooney tetap dianggap terbaik kerana memberi kemenangan kepada pasukan,'' kata Ferguson.
Gol pertama United dijaringkan oleh Nani pada minit ke-41 sebelum pemain City David Silva berupaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-65.
Beberapa percubaan dilakukan pada babak kedua perlawanan oleh kedua-dua pasukan sebelum Rooney memecah kebuntuan untuk memberikan kemenangan bergaya kepada United.
Ketika ini United terus berada di puncak liga dengan 57 mata melalui 26 perlawanan yang telah berlangsung, tempat kedua milik Arsenal dengan 53 mata manakala City di tangga ketiga ketinggalan lapan mata daripada pendahulu liga musim ini. - Agensi

Fergie mahu lagi sentuhan ekstra Rooney

 

Wayne Rooney (kiri) diraikan oleh rakan sepasukan, Nani selepas penyerang Manchester United itu menjaringkan gol kemenangan menentang Manchester City di Old Trafford, kelmarin. United menang 2-1. - REUTERS


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menyifatkan gol kemenangan jaringan Wayne Rooney menentang Manchester City kelmarin, sebagai yang terbaik pernah disaksikannya walaupun beliau masih menagih lebih sentuhan daripada penyerangnya itu.
Rooney yang prestasinya terumbang-ambing musim ini, meledak gol kelima liga di Old Trafford menerusi sepakan gunting menakjubkan selepas menerima umpanan lintang daripada Nani, sekali gus memberikan kemenangan penting 2-1 ke atas musuh tetangga, City.
"Saya tidak pernah saksikan gol seumpama itu, semestinya. Ia mengingatkan saya Denis Law walaupun saya tidak pasti sama ada Denis pernah menyumbat gol yang kualitinya sedemikian.
"Saya tidak dapat ingat mana-mana gol sebagus ini di Old Trafford. Seingat saya, Rooney pernah menjaringkan gol berkualiti menerusi sepakan voli sewaktu menentang Newcastle beberapa tahun lalu dan sememangnya ada lagi banyak gol cantik dijaringkan pemain kita di sini," jelas Ferguson.
Bagaimanapun, Ferguson masih percaya Rooney dan rakannya di bahagian serangan, Dimitar Berbatov yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini, mampu menyumbangkan lebih daripada itu.
"Saya harap Wayne sudah kembali pada prestasi terbaik. Apa yang saya inginkan daripada Wayne dan Berbatov adalah persembahan mereka semasa bertandang ke gelanggang lawan, mesti sebaik ketika beraksi di gelanggang sendiri," ujar Ferguson.
Nani memberikan kelebihan kepada United dengan jaringan pembukaan yang juga cemerlang pada lewat babak pertama, - meskipun tidak dapat dibandingkan dengan ledakan gol kemenangan Rooney pada minit ke-78.
"Masalahnya, gol Nani akan dilupakan terus. Itu gol yang cukup menarik - sentuhannya cukup luar biasa. Dia menampan bola dengan kemas dan menghukum pertahanan lawan, tapi malangnya tiada yang akan bercakap mengenai gol tersebut, hanya gol kemenangan Rooney jadi sebutan. Sukar dipercayai," kata Ferguson.
City menguasai sebahagian besar perlawanan, dan sesudah sepakan Edin Dzeko yang tertampan rakan sepasukan David Silva lalu melantun masuk ke dalam gawang United menjadikan kedudukan 1-1, City dilihat seakan-akan berpotensi untuk memenanginya.
Skuad Roberto Mancini bagaimanapun dikejutkan Rooney, yang jaringan kemenangannya itu pasti terpahat sebagai antara gol terpenting sepanjang kariernya.
"Betul, saya rasa itulah gol terbaik sepanjang hidup saya. Saya pernah menghasilkan gol dengan sepakan gunting ketika di bangku sekolah, namun jaringan saya pada malam ini merupakan yang pertama sejak bermain secara profesional.
"Saya rasa ia satu tindak balas semula jadi. Anda tidak ada masa untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan. Sembilan daripada 10 kali ia menggegar palang atau tersasar, tapi mujur kali ini ia masuk ke sisi penjuru jaring.
"Untuk menjaring gol sedemikian, dan melihat kegembiraan terpancar pada wajah para penyokong, pengurus, rakan-rakan sepasukan... begitu menakjubkan.
"Secara jujur, saya agak kecewa dengan persembahan saya secara keseluruhannya dan saya ada merujuk kepada beberapa raka. Mereka beritahu saya supaya berada di dalam kawasan penalti dan peluang akan terhidang.
"Saya pernah bermain dalam beberapa 'pertembungan jiran bandar raya', jadi saya sedar betapa penting perlawanan ini untuk seluruh bandar raya, terutamanya kepada City yang kian rapat.
"Lebih-lebih lagi, selepas hilang tiga mata minggu lalu, adalah penting untuk kita menang dan menjarakkan kedudukan kita dengan City," jelasnya.
Ekoran kekalahan kelmarin, City sudah boleh melupakan hasrat untuk mengejar United yang kini lapan mata di hadapan mereka dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
"Kami ditewaskan oleh seorang genius (merujuk kepada Rooney). Hanya gol luar biasa seperti itu mampu menentukan perlawanan ini. Keputusan yang adil sepatutnya adalah seri," katanya. - AFP

Suhardi galas tugas Anuar

Daripada SYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my


GRAHAM Seers (kiri) berbincang dengan tiga pelumba negara yang akan mengambil bahagian dalam acara lebuh raya (dari kanan) Mohammad Rauf Nur Misbah, Suhardi Hassan dan Ng Yong Li di Korat, semalam.


KORAT - Pelumba berpengalaman, Suhardi Hassan bersedia menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Anuar Manan dalam acara lebuh raya pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di sini.
Menurut Suhardi, dia sedia untuk membantu melakukan henjutan bertaraf dunia ke garisan penamat, jika perlumbaan berakhir dalam kelompok besar pada perlumbaan yang akan berlangsung pada 18 Februari ini.
Suhardi, yang tiba di sini semalam bersama skuad lebuh raya negara berkata, dia tiada masalah dari segi kecergasan walaupun dipanggil pada saat akhir bagi menggantikan Anuar, yang menarik diri daripada menyertai ACC akibat demam panas.
Ini kerana, katanya, selepas berakhir perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, dia tidak berpeluang berehat, sebaliknya diarah supaya meneruskan latihan seperti biasa.
Saya tidak sangka Anuar terpaksa menarik diri daripada ACC ini akibat demam dan agak terkejut juga apabila akhirnya saya dapat beraksi pada kejohanan di sini.
"Walaupun dipanggil pada saat akhir, saya tiada masalah dari segi kecergasan, saya sudah bersedia untuk memberikan kayuhan terbaik.
"Saya harap dapat melakukan kayuhan terbaik apatah lagi saya pernah memenangi pingat perak di sini pada Sukan SEA 2007," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambahnya, penyenaraiannya pada ACC di sini mungkin kesempatan terbaik buatnya untuk membuktikan dia masih merupakan antara pelumba terbaik negara, setelah gagal mencatat keputusan yang baik pada LTdL yang lalu.
"Pada LTdL 2011, saya kurang cergas seratus peratus dan saya rasa baru sekarang saya mencapai tahap kecergasan yang sebenar.
"Jadi penyertaan saya pada ACC ini tepat pada masanya di mana tahap kecergasan saya berada pada peringkat terbaik.
"Saya juga mahu mengakhiri kemarau pingat dalam acara lebuh raya kejohanan ACC selepas kali terakhir kita menang pingat itupun gangsa menerusi Nur Affendy Rusli pada 1991 di Ipoh," katanya. - Utusan

'Saya suka aksi mereka di Malaysia'

Oleh Aizawati Ahmad
sukan@utusan.com.my


PETALING JAYA - "Saya lebih suka jika mereka (pemain) kekal berada di Malaysia, main untuk liga kita." itu reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah ketika ditanya mengenai 'trend' para pemain negara beraksi di luar negara di sini, semalam.
Baginda bertitah, perumpamaan Melayu, 'hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri', wajar menjadi pegangan para pemain bola sepak negara.
Jelas baginda, tiada yang kurang dalam Liga Malaysia, para pemain akan tetap boleh meningkatkan permainan bersama skuad negeri atau pun kelab yang disertai mereka.
"Namun, penghijrahan pemain merupakan sebahagian daripada rencah dalam kehidupan sebagai pemain bola sepak profesional.
"Apabila kita beraksi baik, maka, lebih banyak pasukan luar berminat untuk mengambil mereka," titah baginda selepas menghadiri majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan di Wisma FAM di sini, semalam.
Bagaimanapun, menurut Sultan Ahmad Shah, baginda tidak pula berhajat hendak menghalang niat pemain berkenaan berhijrah ke luar negara, jika niat mereka itu untuk mencari pengalaman dan meningkatkan kemahiran permainan.
Sementara itu, penyerang kebangsaan, Safee Sali ketika ditemui pemberita berkata, hasratnya menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya adalah untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin di rantau orang.
"Kalau hendak meningkatkan prestasi, saya sedar main di Malaysia sudah memadai kerana ini dibuktikan dengan pencapaian saya sekarang.
"Tetapi, bermain di luar merupakan impian saya sebagai pemain profesional dan ini merupakan cita-cita saya," tegasnya.
Safee yang akan berlepas ke Indonesia, hari ini berkata, dia mempunyai masa dua hingga tiga minggu untuk menyesuaikan diri dengan permainan kelab barunya itu.
Ketika ditanya mengenai sasaran bersama kelab Pelita Jaya, Safee memberitahu, dia tidak meletakkan sebarang sasaran kerana apa yang penting adalah mempamerkan permainan terbaik buat kelab barunya itu.

Sultan Ahmad Shah terima pencalonan

 



PETALING JAYA - Sultan Ahmad Shah bersedia bertanding untuk jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang kini disandang oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sejak 1996.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, semalam mendedahkan yang baginda ada menerima tawaran pencalonan tersebut bagi menjawat jawatan penting itu.
"Saya ada menerima pencalonan untuk menyandang jawatan sebagai Presiden, jika AFF mahukan saya berkhidmat, maka saya bersedia untuk menerimanya," titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menghadiri majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF di Wisma FAM di sini, semalam.
Menurut Sultan Ahmad Shah, jawatan tersebut bakal diiringi dengan tanggungjawab yang besar bagi membangunkan bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun, baginda enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan tersebut kerana ia masih lagi di peringkat cadangan.
Sementara itu, Sultan Ahmad Shah turut mengumumkan Jawatankuasa Kewangan FAM telah bersetuju menambah jumlah peruntukan bagi geran pasukan-pasukan negeri yang beraksi dalam Liga Malaysia.
"Namun, saya tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang yang akan kita salurkan buat masa ini," titah baginda yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM sebelum majlis tersebut berlangsung.
Baginda menjelaskan, bagi memastikan prestasi skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik, FAM bersedia untuk membelanjakan sejumlah peruntukan bagi membolehkan perlawanan persahabatan dapat diadakan dengan lebih kerap terutamanya beraksi di luar negara.
Sultan Ahmad Shah turut mendedahkan FAM bersedia untuk mengkaji secepat mungkin berhubung rayuan bagi meningkatkan jumlah elaun pengadil.
Pada mesyuarat itu juga, FAM telah melantik seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman sebagai Bendahari Kehormat FAM. Beliau merupakan presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO).
Sebelum ini, jawatan pemangku bendahari dipegang oleh V. Ampega.

Harimau Malaya terima insentif RM50,000 juara AFF

 




PETALING JAYA - Skuad Harimau Malaya menerima habuan RM50,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam sebagai insentif kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 setelah menewaskan pasukan jiran, Indonesia, Disember lalu.
Ganjaran itu disampaikan sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah kepada para pemain skuad Harimau Malaya di Wisma FAM di sini.
Pada sidang akhbar, baginda bertitah, kejayaan skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki setelah 14 tahun menanti, merupakan satu era baru dalam arena bola sepak negara.
Titah baginda, kemenangan itu bukan sahaja cukup bermakna buat para pemain, tetapi ia juga menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia yang telah lama menantikan kejayaan besar seperti ini.
"Kita kini merupakan pasukan terbaik ASEAN, bukan saya seorang, malah seluruh rakyat amat bangga dengan kejayaan yang dilakar oleh para pemain kita.
"Malah, saya yakin seluruh rakyat berada di belakang pasukan negara ketika mereka melakar kemenangan ke atas Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki," titah Sultan Ahmad Shah pada majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan di Wisma FAM di sini, semalam.
Menurut Sultan Ahmad Shah, ini merupakan satu permulaan buat skuad kebangsaan untuk terus konsisten melakar kejayaan besar pada masa akan datang.
Jelas baginda lagi, bagi memastikan prestasi para pemain sentiasa berada pada tahap terbaik, FAM bersedia untuk memikirkan cadangan bagi membawa skuad Harimau Malaya menyertai perlawanan persahabatan di luar negara pula.
"Saya rasa tidak salah jika kita bawa pemain beraksi di luar bagi mendapat pendedahan yang sewajarnya," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan.
"Malah, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang sudi menyalurkan peruntukan bagi membantu membangunkan sukan bola sepak negara," titah baginda lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai masa depan skuad Harimau Muda, baginda bertitah, FAM bersedia untuk mencari haluan baru bagi membolehkan pemain-pemain muda negara menerima pendedahan sewajarnya.
"Tidak semestinya kita perlu ke Slovakia lagi, mungkin kali ini kita boleh menimba pengalaman di tempat lain pula seperti di Korea, Jepun atau pun negara Asia Barat," jelas Sultan Ahmad Shah.

Sumber UTUSAN

Sultan Ahmad Shah (barisan belakang) bertanya sesuatu kepada penyerang kebangsaan, Safee Sali sehingga menarik perhatian rakan sepasukan dan pegawai-pegawai FAM ketika sesi bergambar di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.