id=khairul4189">

Sunday, February 13, 2011

Sultan Ahmad Shah terima pencalonan

 



PETALING JAYA - Sultan Ahmad Shah bersedia bertanding untuk jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang kini disandang oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sejak 1996.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, semalam mendedahkan yang baginda ada menerima tawaran pencalonan tersebut bagi menjawat jawatan penting itu.
"Saya ada menerima pencalonan untuk menyandang jawatan sebagai Presiden, jika AFF mahukan saya berkhidmat, maka saya bersedia untuk menerimanya," titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menghadiri majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF di Wisma FAM di sini, semalam.
Menurut Sultan Ahmad Shah, jawatan tersebut bakal diiringi dengan tanggungjawab yang besar bagi membangunkan bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Bagaimanapun, baginda enggan mengulas lanjut mengenai pencalonan tersebut kerana ia masih lagi di peringkat cadangan.
Sementara itu, Sultan Ahmad Shah turut mengumumkan Jawatankuasa Kewangan FAM telah bersetuju menambah jumlah peruntukan bagi geran pasukan-pasukan negeri yang beraksi dalam Liga Malaysia.
"Namun, saya tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang yang akan kita salurkan buat masa ini," titah baginda yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM sebelum majlis tersebut berlangsung.
Baginda menjelaskan, bagi memastikan prestasi skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik, FAM bersedia untuk membelanjakan sejumlah peruntukan bagi membolehkan perlawanan persahabatan dapat diadakan dengan lebih kerap terutamanya beraksi di luar negara.
Sultan Ahmad Shah turut mendedahkan FAM bersedia untuk mengkaji secepat mungkin berhubung rayuan bagi meningkatkan jumlah elaun pengadil.
Pada mesyuarat itu juga, FAM telah melantik seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman sebagai Bendahari Kehormat FAM. Beliau merupakan presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO).
Sebelum ini, jawatan pemangku bendahari dipegang oleh V. Ampega.

No comments:

Post a Comment