MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menyifatkan gol kemenangan jaringan Wayne Rooney menentang Manchester City kelmarin, sebagai yang terbaik pernah disaksikannya walaupun beliau masih menagih lebih sentuhan daripada penyerangnya itu.
Rooney yang prestasinya terumbang-ambing musim ini, meledak gol kelima liga di Old Trafford menerusi sepakan gunting menakjubkan selepas menerima umpanan lintang daripada Nani, sekali gus memberikan kemenangan penting 2-1 ke atas musuh tetangga, City.
"Saya tidak pernah saksikan gol seumpama itu, semestinya. Ia mengingatkan saya Denis Law walaupun saya tidak pasti sama ada Denis pernah menyumbat gol yang kualitinya sedemikian.
"Saya tidak dapat ingat mana-mana gol sebagus ini di Old Trafford. Seingat saya, Rooney pernah menjaringkan gol berkualiti menerusi sepakan voli sewaktu menentang Newcastle beberapa tahun lalu dan sememangnya ada lagi banyak gol cantik dijaringkan pemain kita di sini," jelas Ferguson.
Bagaimanapun, Ferguson masih percaya Rooney dan rakannya di bahagian serangan, Dimitar Berbatov yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini, mampu menyumbangkan lebih daripada itu.
"Saya harap Wayne sudah kembali pada prestasi terbaik. Apa yang saya inginkan daripada Wayne dan Berbatov adalah persembahan mereka semasa bertandang ke gelanggang lawan, mesti sebaik ketika beraksi di gelanggang sendiri," ujar Ferguson.
Nani memberikan kelebihan kepada United dengan jaringan pembukaan yang juga cemerlang pada lewat babak pertama, - meskipun tidak dapat dibandingkan dengan ledakan gol kemenangan Rooney pada minit ke-78.
"Masalahnya, gol Nani akan dilupakan terus. Itu gol yang cukup menarik - sentuhannya cukup luar biasa. Dia menampan bola dengan kemas dan menghukum pertahanan lawan, tapi malangnya tiada yang akan bercakap mengenai gol tersebut, hanya gol kemenangan Rooney jadi sebutan. Sukar dipercayai," kata Ferguson.
City menguasai sebahagian besar perlawanan, dan sesudah sepakan Edin Dzeko yang tertampan rakan sepasukan David Silva lalu melantun masuk ke dalam gawang United menjadikan kedudukan 1-1, City dilihat seakan-akan berpotensi untuk memenanginya.
Skuad Roberto Mancini bagaimanapun dikejutkan Rooney, yang jaringan kemenangannya itu pasti terpahat sebagai antara gol terpenting sepanjang kariernya.
"Betul, saya rasa itulah gol terbaik sepanjang hidup saya. Saya pernah menghasilkan gol dengan sepakan gunting ketika di bangku sekolah, namun jaringan saya pada malam ini merupakan yang pertama sejak bermain secara profesional.
"Saya rasa ia satu tindak balas semula jadi. Anda tidak ada masa untuk memikirkan apa yang perlu dilakukan. Sembilan daripada 10 kali ia menggegar palang atau tersasar, tapi mujur kali ini ia masuk ke sisi penjuru jaring.
"Untuk menjaring gol sedemikian, dan melihat kegembiraan terpancar pada wajah para penyokong, pengurus, rakan-rakan sepasukan... begitu menakjubkan.
"Secara jujur, saya agak kecewa dengan persembahan saya secara keseluruhannya dan saya ada merujuk kepada beberapa raka. Mereka beritahu saya supaya berada di dalam kawasan penalti dan peluang akan terhidang.
"Saya pernah bermain dalam beberapa 'pertembungan jiran bandar raya', jadi saya sedar betapa penting perlawanan ini untuk seluruh bandar raya, terutamanya kepada City yang kian rapat.
"Lebih-lebih lagi, selepas hilang tiga mata minggu lalu, adalah penting untuk kita menang dan menjarakkan kedudukan kita dengan City," jelasnya.
Ekoran kekalahan kelmarin, City sudah boleh melupakan hasrat untuk mengejar United yang kini lapan mata di hadapan mereka dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
"Kami ditewaskan oleh seorang genius (merujuk kepada Rooney). Hanya gol luar biasa seperti itu mampu menentukan perlawanan ini. Keputusan yang adil sepatutnya adalah seri," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment