Remaja negara raih 3 perak
KORAT - Pelumba remaja negara mencatat permulaan baik pada hari pembukaan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di Korat apabila meraih tiga pingat perak semalam.
Pingat pertama disumbangkan Jupha Somnet yang menduduki tempat kedua dalam acara 500 meter ujian masa wanita, sekali gus mempertahankan perak yang dimenanginya pada ACC di Sharjah, UAE tahun lalu.
Jupha, 18, yang mencatat kepantasan 38.452 saat, akur dengan kepantasan pelumba Korea Selatan Cho Sun Young (38.452s) yang memenangi emas, manakala gangsa milik pelumba tuan rumah, Apinya Promboot (40.593s).
Mohd. Arfy Qhairant menyumbang satu lagi pingat perak menerusi acara 1km ujian masa lelaki dengan masa 1:07.825s. Pelumba Thailand, Satjakul Sianglam memastikan tuan rumah ceria apabila memenangi acara itu dengan kepantasan 1: 06.893s, manakala gangsa diraih pelumba Jepun, Kyohei Shinzan (1:07.920s).
Pingat perak terakhir negara diraih menerusi acara pecut berpasukan lelaki hasil gandingan Mohd. Arfy, Hamdan Hamidun dan Fauzan Nor Azman yang kalah dalam penentuan pingat emas kepada trio Jepun.
Pasukan negara mencatat 1:05.569s untuk pingat perak, manakala trio Jepun memastikan pingat emas dengan masa 1:04.585s.
Sementara itu, kejayaan mengekalkan perak yang dimenangi di Sharjah pada ACC tahun lalu tidak begitu memuaskan Jupha kerana dia sebenarnya menyasarkan emas pada penyertaan kedua ACC.
Menurutnya, kepantasan 40.544s dalam acara tersebut semalam bukanlah catatan terbaiknya kerana pada ACC 2010, dia mencatat masa 39.80s ketika memenangi pingat perak.
"Saya menyasarkan emas pada kejohanan di sini setelah menduduki tempat kedua dalam acara yang sama di Sharjah tahun lalu, namun pelumba Korea yang memenangi emas hari ini ternyata lebih pantas.
"Ini merupakan kali pertama saya berdepan dengan cabaran pelumba tersebut.
"Begitupun pingat perak ini sedikit melegakan kerana saya tidak sempat mengadakan persediaan rapi untuk kejohanan ini kerana bercuti selama tujuh bulan demi fokus untuk peperiksaan SPM.
"Hanya setelah selesai SPM barulah saya kembali ke trek dan membuat persediaan ke ACC di sini mulai Disember," katanya.
Sementara itu, Mohd. Arfy berpuas hati dengan kejayaan pingat perak dalam 1km ujian masa kerana ia bukanlah acara kegemarannya.
"Saya mengambil bahagian dalam empat acara pada ACC di sini iaitu 1km ujian masa, pecut berpasukan, pecut 200m dan keirin.
"Daripada keempat-empat acara tersebut, saya menggemari acara keirin dan pecut berpasukan. Kejayaan memenangi perak dalam acara bukan pilihan ini (1km ujian masa) merupakan permulaan baik dan saya berharap dapat keputusan yang lebih baik dalam acara kegemaran saya selepas ini," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment