id=khairul4189">
Sunday, February 13, 2011
Gerrard, Agger kembali bersaing
LIVERPOOL - Steven Gerrard dan Daniel Agger dijangka kembali menyertai Liverpool pada perlawanan menentang Sparta Prague dalam saingan Liga Europa, Khamis ini, menurut pengurus Reds, Kenny Dalglish.
Kapten berpengaruh, Gerrard terlepas pertemuan dengan Wigan yang berkesudahan seri 1-1 di Anfield ekoran kecederaan pangkal paha.
Sementara pertahanan Denmark, Agger turut tidak beraksi pada perlawanan tersebut berikutan masalah otot dan menyaksikan harapan Liverpool untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut musnah sejak Reds diletakkan di bawah pengendalian, Dalglish.
Namun, Dalglish membayangkan kedua-dua pemain itu akan menyertai kujungan Liverpool ke Republik Czech pada pertengahan minggu ini.
"Ia lebih baik beberapa hari daripada berminggu-minggu," kata pengurus Liverpool ketika ditanya mengenai ketiadaan dua pemain berkenaan pada perlawanan menentang Wigan.
Dalglish sudah pasti menuntut anak-anak buahnya meningkatkan prestasi ekoran persembahan tidak konsisten menentang Wigan ketika mereka bertemu Sparta, kelak pada saingan pusingan 16 pasukan.
Liverpool mengintai peluang untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut apabila pemain tengah Portugal, Raul Meireles meneruskan kecemerlangan menjaringkan gol kelimanya dalam enam perlawanan.
Jaringan itu juga meletakkan Liverpool mendahului pada separuh masa pertama menentang Wigan yang kini berada dalam zon penyingkiran.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah gagal mempertahankan kedudukan itu apabila pertahanan antarabangsa Ivory Coast, Steve Gohouri menjaringkan gol penyamaan yang membangkitkan kontroversi pada separuh masa kedua.
Dalglish menegaskan, gol Wigan itu seharusnya tidak diterima selepas pemain tersebut berada dalam kedudukan ofsaid.
Kekecewaan Liverpool semakin tidak dapat disorokkan apabila Luis Suarez yang buat pertama kali tampil dalam kesebelasan utama gagal dalam dua kali percubaannya yang sekadar terkena palang gol.
"Gol mereka cukup jelas ofsaid, tetapi perkara seumpama ini biasa berlaku. Kami amat kecewa. Perlawanan ini amat sukar, tetapi persembahan kami tidak begitu baik seperti yang kami pamerkan sebelum ini.
"Kami bermula baik dengan melakukan serangan dan Raul menjaringkan gol yang cantik. Rembatan Luis pula terkena tiang, tetapi rata-rata pemain ini terlibat dalam perlawanan pada Rabu lalu.
"Mereka agak kehilangan rentak dan permainan sebelum ini lebih bagus. Malah, mereka tidak beraksi mantap dan persembahan kelihatan tumpul," tambah Dalglish, yang mengakui segelintir pemainnya menampilkan permainan tumpul selepas terbabit dalam perlawanan pertengahan minggu bersama negara masing-masing.
Pengurus Wigan, Roberto Martinez menggesa para pemainnya agar bekerja keras dan memanfaatkan mata yang mereka peroleh sebagai platform untuk bangkit kembali.
"Gol Liverpool hadir ketika perlawanan sedang rancak berlangsung dan ia merupakan rembatan yang cukup luar biasa secara teknikalnya.
"Untuk beberapa ketika kami berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa pertama, tetapi kami tidak pula menunjukkan keyakinan yang kami mampu mengecewakan pasukan seperti Liverpool.
"Para pemain berhak untuk mendapat pujian. Berkunjung ke Anfield, jika anda tidak berada pada prestasi terbaik, anda tidak akan dapat apa-apa, tetapi saya rasa kami telah bertahan dengan baik sekali,'' kata Martinez. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment