Trio pecut sambar gangsa
KORAT - Gandingan Josiah Ng, Edrus Yunos dan Rizal Tisin berjaya meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di sini, sekali gus menebus kehampaan setelah pulang tanpa pingat pada ACC 2010 di Sharjah, UAE tahun lalu.Pingat pertama yang dimenangi oleh skuad senior negara pada kejohanan yang bermula semalam dihasilkan apabila mengalahkan pasukan Iran dalam penentuan tempat ketiga.
Trio negara mencatat masa 1:02.36s, manakala Iran sekadar 1:02.73s. Emas acara tersebut dimenangi China (1:01.25s) manakala pingat perak milik Jepun (1:01.40s).
Mengulas pingat gangsa yang diraih semalam, ketua jurulatih negara John Beasley berkata, kejayaan mengalahkan Iran dalam penentuan pingat gangsa sememangnya sudah diduga.
Menurutnya, ini kerana trio negara mempamer kayuhan bertenaga pada peringkat kelayakan, namun gagal meneruskan kemaraan ke final apabila kalah kepada pasukan Jepun.
"Kejayaan memenangi pingat gangsa tidaklah begitu buruk buat skuad negara. Cuma saya agak kecewa kerana gagal layak ke penentuan emas dalam acara pecut berpasukan ini hanya disebabkan perbezaan masa yang begitu kecil berbanding pasukan Jepun pada peringkat sebelum ini.
"Pingat gangsa ini sudah memadai untuk menebus kehampaan kerana pada ACC 2010, di mana kita menduduki tempat kelima dalam acara ini," katanya.
Ditanya mengapa dia tidak menurunkan jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang dalam acara pecut berpasukan, Beasley berkata, dia mempunyai sebab dan strategi untuk menurunkan gandingan Josiah, Mohd. Edros dan Mohd. Rizal pada saingan di sini.
"Jika saya menyenaraikan Azizulhasni dalam acara pecut, ya kita memang akan lebih pantas. Namun saya ada alasan untuk mengetepikan Azizul kerana dia mempunyai misi tersendiri iaitu untuk beraksi dalam acara keirin.
"Saya mahu dia (Azizulhasni) fokus dalam acara keirin, sebab itu saya tidak menyenaraikan beliau.
"Lagipun gandingan hari ini saya lihat sudah semakin serasi dan bertambah pantas dan saya yakin mereka mampu meningkatkan keserasian dan kepantasan," katanya.
No comments:
Post a Comment