Oleh Aizawati Ahmad
sukan@utusan.com.my
PETALING JAYA - "Saya lebih suka jika mereka (pemain) kekal berada di Malaysia, main untuk liga kita." itu reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah ketika ditanya mengenai 'trend' para pemain negara beraksi di luar negara di sini, semalam.
Baginda bertitah, perumpamaan Melayu, 'hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri', wajar menjadi pegangan para pemain bola sepak negara.
Jelas baginda, tiada yang kurang dalam Liga Malaysia, para pemain akan tetap boleh meningkatkan permainan bersama skuad negeri atau pun kelab yang disertai mereka.
"Namun, penghijrahan pemain merupakan sebahagian daripada rencah dalam kehidupan sebagai pemain bola sepak profesional.
"Apabila kita beraksi baik, maka, lebih banyak pasukan luar berminat untuk mengambil mereka," titah baginda selepas menghadiri majlis menjunjung kasih kepada Presiden FAM di atas kejayaan pasukan kebangsaan di Wisma FAM di sini, semalam.
Bagaimanapun, menurut Sultan Ahmad Shah, baginda tidak pula berhajat hendak menghalang niat pemain berkenaan berhijrah ke luar negara, jika niat mereka itu untuk mencari pengalaman dan meningkatkan kemahiran permainan.
Sementara itu, penyerang kebangsaan, Safee Sali ketika ditemui pemberita berkata, hasratnya menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya adalah untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin di rantau orang.
"Kalau hendak meningkatkan prestasi, saya sedar main di Malaysia sudah memadai kerana ini dibuktikan dengan pencapaian saya sekarang.
"Tetapi, bermain di luar merupakan impian saya sebagai pemain profesional dan ini merupakan cita-cita saya," tegasnya.
Safee yang akan berlepas ke Indonesia, hari ini berkata, dia mempunyai masa dua hingga tiga minggu untuk menyesuaikan diri dengan permainan kelab barunya itu.
Ketika ditanya mengenai sasaran bersama kelab Pelita Jaya, Safee memberitahu, dia tidak meletakkan sebarang sasaran kerana apa yang penting adalah mempamerkan permainan terbaik buat kelab barunya itu.
No comments:
Post a Comment