id=khairul4189">

Thursday, February 10, 2011

Aidil akui standard sudah meningkat

KUALA LUMPUR – Bekas ketua pasukan negara, Mohd. Aidil Zafuan mengakui terdapat sedikit perbezaan dalam corak permainan rakan-rakan sepasukannya selepas membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan dalam tempoh lima bulan.
Menurut Aidil, dia dapat berasakan terdapat peningkatan ketara terutama dari segi hantaran dan kepantasan melakukan serangan dengan persefahaman yang semakin baik di kalangan pemain.
“Selepas beraksi malam ini, saya dapati saya perlu meningkatkan lagi tahap permainan bagi menyamai standard rakan-rakan yang lain.
“Saya dapati cara permainan mereka sudah berbeza dan saya memerlukan masa dalam dua ke tiga perlawanan bagi mendapat rentak sebenar bersama rakan-rakan,” katanya yang ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Hong Kong, kelmarin.
Aidil yang mengalami kecederaan ligamen silangan depan (ACL) semasa perlawanan akhir Piala Malaysia terpaksa melupakan panjang kejohanan Sukan Asia Guangzhou dan Piala Suzuki AFF.
Ketiadaannya bagaimanapun berjaya digalas pemain muda, Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas yang beraksi baik dalam kedua-dua kejohanan tersebut.
Menyentuh persembahannya kelmarin, Aidil berpuas hati kerana berjaya meraih kepercayaan jurulatih, K. Rajagobal bagi merebut kembali kesebelasan utama.
“Terus terang, saya tidak menyangka akan diberi kepercayaan untuk beraksi dan gembira kerana boleh beraksi dengan baik bersama Mohd. Fadhli Shas.
“Saya dapat rasa yang kami berdua ada keserasian untuk beraksi bersama di bahagian pertahanan dan ia bagus untuk kami dalam menghadapi perlawanan antarabangsa seterusnya, ” ujarnya.
Ditanya mengenai perebutan tempat di bahagian pertahanan yang semakin sengit ditambah dengan kehadiran Muslim dan Mohd. Faizal Muhammad, Aidil mengakui ia satu perkara yang baik dan dia langsung tidak merasai sebarang tekanan untuk beraksi cemerlang dalam setiap perlawanan.
“Bagi saya ini satu aspek positif mengenai skuad kali ini, ia menandakan semakin ramai pemain berkualiti yang menyarung jersi negara, ” jelasnya.

No comments:

Post a Comment